Thursday 11 July 2013

Hairie Mengaku Makan Duit Ceramah Pas


Pelakon Hairie Othman yang sebelum ini berkempen untuk Pakatan Rakyat betul-betul rasa kecewa apabila dirinya tidak dipedulikan lagi apabila selesai Pilihan Raya Umum Ke-13, lapor beautifulnara.com

Memetik sumber dari akhbar Warta Perdana, Hairie mengakui sudah sebulan tidak menerima apa-apa panggilan atau jemputan ceramah dari mana-mana pihak Pakatan.
“Tidak ada jemputan bermakna saya tidak ada pendapatan,”katanya.
Sejak menyertai Pas, Hairie meninggalkan bidang lakonan yang menjadi sumber pendapatan selama ini kerana memberi tumpuan membantu PR menghadapi PRU 13.
Sebagai ketua keluarga, berkata dia mempunyai tanggungjawab memberi nafkah kepada anak-anak dan isteri seperti membeli keperluan dapur bayar ansuran kereta dan sebagainya dan semua keperluan itu dapat dipenuhi apabila sering dipanggil berceramah oleh PR.
Mengaku tidak menang tangan dibawa menjelajah ke seluruh pelosok tanah air membantu ceramah PR, pendapatannya ketika itu mampu menyara keluarga.
Namun kata Hairie,”Saya pelik sebaik selesai PRU 13, PR tidak lagi hubungi saya, padahal mereka diberi mandat memerintah Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang.”
Dia berkata dia tidak boleh berterusan begini sebaliknya perlu melakukan sesuatu demi kelangsungan hidup keluarganya.
“Saya berharap kerajaan PR perlu mengotakan segala janjinya sepanjang berkempen dahulu untuk membantu rakyat dan memberi peluang pekerjaan kepada saya mengendalikan apa jua program kerajaan di Selangor.”
Kata Hairie lagi, kerajaan PR perlu beri beliau peluang menjalankan apa-apa projek seperti tender potong rumput atau apa saja kerja yang boleh mendatangkan punca pendapatan.
Malah menurutnya, sejak menjadi penceramah tetap PR Hairie seolah-olah disenarai hitamkan dalam bidang seni dan sejak itu tidak menerima sebarang tawaran berlakon dari mana-mana penerbit.
Beliau sanggup mengambil risiko meninggalkan bidang seni yang menjadi sumber pendapatannya selama ini kerana yakin dengan kekuatan PAS dan PR mengambil alih tampuk pentadbiran kerajaan Persekutuan.
“Sangkaan saya meleset sama sekali, BN masih diterima rakyat pada PRU13 lalu. Harapan saya cuma minta kerajaan PR berikan sesuatu job pada saya.”
Hairie mula berkempen membantu jentera pilihanraya PR sebaik menyertai PAS pada 2011 dan kemuncaknya pada kempen PRU13 beliau diberi tugasan berceramah empat kali sehari.
“Sebagai aktivis Pakatan, saya di hantar berceramah dan berkempen di seluruh negara bagi membantu calon PR, tidak kira PAS, DAP atau PKR. Saya berkempen dua tempat pada waktu siang dan dua tempat pada waktu malam, berlarutan sehingga ke pagi.”
Sewaktu berkempen beliau tidak mendapat tidur secukupnya demi membantu kemenangan calon PR.
“Tetapi apabila mereka sudah menang dan berjaya membentuk tiga kerajaan negeri di Selangor,Kelantan dan Pulau Pinang,diri saya seolah-olah tidak dipedulikan lagi.”
Secara sinis Hairie berkata,siapalah dirinya, hanya aktivis PR sahaja, bukannya wakil ADUN atau wakil Ahli Parlimen.
“Sebab itulah saya tidak dipedulikan.”- AIDCNews

DAKWAT KEKAL AKAN DICELUP BUKAN DICALIT - SPR

Pengundi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kuala Besut perlu mencelup jari telunjuk kiri ke dalam dakwat kekal yang disediakan pada hari mengundi dan tidak lagi sekadar dicalit oleh pegawai bertugas seperti yang dilakukan pada pilihan raya umum lepas.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (gambar) dalam satu kenyataan mengulangi bahawa penggunaan dakwat kekal merupakan prosedur tambahan pengundian bagi mengelak sebarang percubaan mengundi dua kali oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.
Kali ini dakwat kekal akan digunakan pada hari pengundian awal 20 Julai dan pengundian biasa PRK Kuala Besut pada 24 Julai. Selain itu, Abdul Aziz turut menasihati pengundi supaya menyemak senarai pengundi dan memastikan saluran serta tempat mengundi yang betul kerana jika nama pengundi tidak terdapat dalam senarai pengundi di tempat dan saluran yang ditetapkan, mereka tidak akan dibenarkan mengundi.
Abdul Aziz berkata SPR menetapkan Kompleks Rakan Muda Kg Raja Besut, Kuala Besut sebagai tempat penamaan calon, dan proses penamaan calon bermula pukul 9 pagi hingga 10 pagi pada 12 Julai.
Beliau menasihatkan para penyokong parti supaya tidak melakukan perkara yang tidak diingini dan melanggar undang-undang untuk memastikan proses penamaan berjalan lancar.
Abdul Aziz turut mengingatkan mereka supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan dalam Seksyen 24A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang tidak membenarkan para penyokong atau sesiapa yang mengiringi calon membawa alat-alat muzik, pembesar suara dan membuat ceramah politik pada hari berkenaan.
Ketika proses penamaan calon itu juga hanya calon, pencadang dan penyokong yang dibenarkan masuk ke dalam dewan, katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa tempoh rasmi berkempen hanya bermula selepas pegawai pengurus mengisytiharkan bahawa ada pertandingan yang akan dijalankan dan kempen akan berakhir pada tengah malam 23 Julai.
Sebuah pasukan penguatkuasa kempen pilihan raya akan ditubuhkan bagi memantau aktiviti sepanjang tempoh rasmi berkempen selaras dengan peruntukan akta berkenaan. - Bernama, 10 Julai, 2013. 

PRK BESUT , TERENGGANU


Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman sebagai calon Barisan Nasional (BN) untuk pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut.
Timbalan perdana menteri membuat pengumuman itu di Kuala Besut, Terengganu.
PAS akan mengumumkan calon mereka malam nanti.
Tangku Zaihan adalah Ketua Penolong Pengarah Jabatan Pengaliran dan Saliran (Bahagian Korporat). Beliau berumur 37 tahun dan mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dari Universiti Sains Malaysia (USM).
Beliau adalah anak tempatan dan bekas jurutera JPS daerah Besut.
Dr A Rahman Mokhtar, Adun Kuala Besut meninggal 26 Jun lalu selepas 50 hari menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) untuk penggal kedua. Ia menyebabkan PRK terpaksa diadakan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon pada 12 Julai dan hari mengundi 24 Julai ini.
Pada PRU13, allahyarham memperolehi 8,809 undi sementara calon PAS, Napisah Ismail mendapat 6,375 undi. Majoriti Allahyarham adalah 2,434 undi.
Daripada 14 pilihan raya sebelum ini, pembangkang iaitu PAS menang empat kali iaitu 1959, 1969, 1974 dan 1999 manakala yang lainnya dimenangi BN.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dijangka mengumumkan calon pilihan mereka malam ini.
Antara yang disebut-sebut bakal mewakili PAS ialah Azlan Yusof, 48; Setiausaha Majlis Syura Ulama, Nik Zawawi Salleh dan Yang Dipertua PAS Besut, Wan Azhar Wan Ahmad. – 9 Julai, 2013.