Tuesday 12 August 2014

NASIHAT KEPADA TAN SRI KHALID IBRAHIM DAN PAS

Nasihat saya kepada Tan Sri Khalid supaya melakukan segera perkara-perkara berikut:

1. memecat dengan serta-merta Anwar Ibrahim daripada jawatan Penasihat Ekonomi Negeri Selangor dan mengarahkan Anwar mengosongkan serta-merta pejabat PENS dan membawa bersamanya kesemua kakitangan yang ada;

2. memecat serta-merta kesemua anggota Exco Kerajaan Negeri daripada PKR-DAP;

3. memecat serta merta Saifuddin Nasution Ismail daripada jawatan Penyelaras Perhubungan Kerajaan Negeri dan PKR dan mengarahkan beliau mengosongkan pejabat dengan serta-merta;

4. memecat serta-merta kesemua Pengerusi, Ketua Pegawai Eksekutif, Pengurus Besar dan Ahli Lembaga Pengarah daripada parti PKR-DAP didalam kesemua GLC, Perbadanan dan syarikat milik atau yang dikuasai oleh Kerajaan Negeri Selangor;

5. melantik sekurang-kurangnya tambahan 6 orang lagi ADUN PAS menjadi Exco Kerajaan Selangor, ini akan menjadikan Exco Selangor mantap dan kuat dengan 10 anggota Exco;

6. apabila Dewan bersidang nanti, memecat Speaker dan kedua-dua Timbalan Speaker daripada DAP-PKR dan melantik seorang yang bukan ahli parti, seperti bekas Hakim Mahkamah Persekutuan atau yang setaraf dengannya sebagai Speaker DUN yang baru,

7. memberi surat tunjuk sebab kepada semua Ahli Majlis PBT daripada DAP-PKR menyatakan mengapa mereka tidak harus dipecat kerana menyokong pendirian parti mereka DAP-PKR memecat Tan Sri Khalid. Jika mereka masih menyokong DAP-PKR, maka kesemua Ahli Majlis PBT tersebut wajib dipecat serta-merta;

8. Kesemua jawatan Ahli Majlis PBT yang dikosongkan itu hendaklah diisi oleh ahli-ahli PAS atau aktivitis masyarakat yang bersesuaian;

9. mengadakan pertemuan segera dengan kesemua ADUN PAS Selangor dan pimpinan PAS Negeri dan Pusat untuk memastikan kelancaran pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor.

10. mendedahkan kepada rakyat, jika ada, kesemua projek atau habuan kewangan yang telah, sedang dan dalam proses diperolehi dan atau diberikan kepada Anwar Ibrahim, kroni atau ahli keluarganya, atau pimpinan dan ahli PKR-DAP serta kaum keluarga mereka.

Kepada Datuk Nik Aziz, Datuk Seri Hadi Awang, dan kepimpinan PAS, saya mendoakan supaya istiqomah dalam keputusan menyokong Tan Sri Khalid. Saya mendoakan supaya mereka dihindari dan dijauhi daripada fitnah, tipudaya, pembohongan dan putarbelit daripada PKR-DAP dalam keputusan mereka mempertahankan Tan Sri Khalid.

Manakala kepada PAS pula, saya nasihatkan supaya mengambil kesempatan daripada peluang pembentukan Kerajaan Selangor ini dengan menunjukkan kehebatan dan kebaikan pemerintahan Islam. Fahami prinsip Fiqh Awlawiyyah dalam pemerintahan dan pentadbiran Kerajaan.

Jangan lakukan kesilapan seperti yang telah dilakukan sebelum ini. Pertahan dan perkasakan Islam dan syariat Islam sebagaimana yang ditetapkan Allah didalam Al-Quran dan Hadis Rasulullah saw; dan jagalah kepentingan dan kebajikan orang Melayu sebagaimana yang telah diperuntukkan oleh undang-undang tanpa menafikan hak atau menzalimi kaum bukan Melayu dan bukan Islam.

Ingatlah, Allah yang memberikan kuasa, dan Allah yang menarik balik kuasa!

Peganglah amanah yang diberikan Allah ini sebaik-baiknya. Jangan jadikan jawatan dan pemerintahan sebagai medan membuat habuan, tetapi jadikan ianya sebagai suatu amanah yang perlu dipertanggungjawabkan dihadapan Allah nanti!

Allah hu akbar, walillah hilhamd!
Wallahhua'lam dan wassalam.

Adios amigos, grasias senor.

Zulkifli Bin Noordin
Selasa
16 Syawal 1435
12 Ogos 2014

Saturday 9 August 2014

Drama bakal berakhir, tunggu episod baru: Noh


SHAH ALAM - Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, kemelut politik kerusi Menteri Besar Selangor sudah boleh dijangka dengan pemecatan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai ahli PKR serta-merta.

Katanya, walaupun jalan cerita sudah sampai ke penghujung kerana skrip tersebut memang sudah ada, tetapi masih ada episod baru yang lebih mengujakan iaitu pendirian Pas mengenai kedudukan Abdul Khalid.

"Episod seterusnya terletak pada Pas. Sama ada mereka terus sokong Abdul Khalid seperti mana pendirian mereka sebelum ini atau menarik balik sokongan mereka.

"Pada masa yang sama, sekiranya mereka ikhlas, mereka boleh mempelawa Abdul Khalid menyertai parti itu kerana kedudukan menteri besar yang kini menjadi Adun bebas," katanya, semalam.

Noh berkata, walaupun Abdul Khalid disingkir daripada PKR namun beliau boleh kekal sebagai ketua kerajaan negeri kerana pelantikannya sah menurut Perlembagaan.

"Inilah kali pertama dalam sejarah Selangor, menteri besar adalah Adun Bebas. Namun begitu Umno Selangor mengambil pendirian tunggu dan lihat sahaja drama ini," katanya.

KHALID IBRAHIM DIHUKUM

KENYATAAN AKHBAR
PRESS RELEASE

PARTI KEADILAN RAKYAT

Lembaga Disiplin KEADILAN telah meneliti dan mengadakan siasatan berkenaan kes disiplin dan tatatertib TAN SRI KHALID IBRAHIM (Cabang Kuala Selangor). Kes ini telahpun dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN bertarikh 9 Ogos 2014.

Berikut adalah keputusan yang dicadangkan Lembaga Disiplin, yang turut mempertimbangkan surat-surat balasan oleh TAN SRI KHALID IBRAHIM bertarikh 6 Ogos 2014 dan 8 Ogos 2014, dan dipersetujui Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN.

Beliau telah didapati mengingkari keputusan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat yang bermesyuarat pada 21 Julai 2014 yang sebulat suara memilih Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar Selangor yang baru.

Beliau telah membuat kenyataan media pada 22 Julai 2014 yang menyatakan keengganan beliau meletak jawatan Menteri Besar dan sehingga hari ini beliau terus enggan melepaskan jawatan tersebut.

Atas alasan ini sahaja pun, Lembaga Disiplin berpendapat beliau wajar dipecat.

Majlis Pimpinan Pusat turut mengambil maklum bahawa:

• Beliau ingkar terhadap keputusan yang telah dicapai oleh Majlis Presiden Pakatan Rakyat yang turut dihadiri Dato’ Seri Tn Guru Hj Abdul Hadi Awang, sdr Lim Kit Siang, dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengenai:
o menangguhkan proses dan perbincangan mengenai projek Langat 2;
o menangguhkan kenaikan elaun Speaker, Menteri Besar, EXCO dan ADUN negeri Selangor;

• Beliau turut gagal mematuhi keputusan Majlis Presiden Pakatan Rakyat yang dipersetujui sendiri oleh beliau untuk melibatkan Jawatankuasa Penstrukturan Air Selangor dalam isu penstrukturan aset air Selangor;

• Beliau turut berkeras untuk meneruskan projek Lebuhraya KIDEX walaupun parti sudah mengarahkan beliau untuk mengkaji semula projek tersebut kerana ia bertentangan dengan matlamat dan manifesto Pakatan Rakyat yang dibentangkan sebelum Pilihanraya Umum ke-13 yang lalu;

• Beliau turut gagal memberikan penjelasan sepenuhnya kepada Majlis Presiden Pakatan Rakyat mengenai isu pelupusan hutang beliau dengan Bank Islam bernilai hampir RM70 juta.

Oleh yang demikian, adalah diumumkan bahawa TAN SRI KHALID IBRAHIM dengan ini dipecat dari Parti Keadilan Rakyat, berkuatkuasa serta-merta.

DATO’ DR TAN KEE KWONG
PENGERUSI LEMBAGA DISIPLIN
PARTI KEADILAN RAKYAT
9 OGOS 2014