Berikut adalah Memorandum daripada Sekretariat Mendaulatkan Islam Sebagai Agama Persekutuan berhubung isu penyalahgunaan nama “Allah” yang telah diserahkan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu bersempena Mesyuarat Majlis Raja-raja Yang ke-231 yang telah diadakan pada 27 Februari 2013 untuk penelitian dan titah Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu. Untuk maklumat terkini kes nama “Allah’ di peringkat Mahkamah Rayuan,sila baca di sini.
Memorandum
Dengan penuh hormat dan takzimnya,Sekretariat Mendaulatkan Islam Sebagai Agama Persekutuan (SEKRETARIAT),merafak sembah dan memohon perkenan Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu untuk meneliti dan seterusnya mengampun perkenan titah ke atas Memorandum berhubung perkembangan terkini berkaitan isu penyalahgunaan nama suci ‘Allah’.
Memorandum ini telah dizahirkan akibat kegusaran dan kekhuatiran umat Islam yang terbit dari perkembangan mutakhir, di mana kesucian nama ‘Allah’,sebagaimana terpelihara dalam Perlembagaan Persekutuan, Undang-undang Tubuh Negeri-negeri, Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri-Negeri, Fatwa-fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan, Fatwa-fatwa Majlis Fatwa Negeri-negeri serta kuasa-kuasa mutlak Raja-raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam, boleh dan telahpun tercemar.
Memorandum ini adalah ikhtiar terdesak SEKRETARIAT yang mewakili pelbagai lapisan umat Islam,khususnya Pertubuhan-pertubuhan Islam Bukan Kerajaan, tokoh-tokoh pemimpin umat Islam, gagasan individu Melayu dan Muslim terkemuka, pemikir-pemikir arus perdana serta Badan-badan yang berkongsi keprihatinan yang sama.
Justeru, DYMM Raja-Raja Melayu yang telah bersumpah Syar`iy dengan melafazkan “Wallahi,Wabillahi, Watallahi” untuk “memelihara pada setiap masa Agama Islam” dirayu untuk meneliti dan mengeluarkan titah ke atas keadaan yang amat membimbangkan ini.
Keprihatinan SEKRETARIAT
SEKRETARIAT prihatin dan gusar melihat usaha-usaha sesetengah pihak untuk menyalahgunakan nama suci Allah yang seterusnya boleh menimbulkan kekeliruan dan ketidakmasyarakat Muslim khususnya orang Melayu yang sememangnya sangat komited dalam memelihara kesucian agama Islam terutamanya nama suci Allah, dan juga penganut Islam daripada keturunan lain.
Konsep ketuhanan berasaskan mentauhidkan ‘Allah’ yang dianuti oleh masyarakat Muslim di dalam realiti Malaysia dan konteks Muslim dan tradisi, kebudayaan dan sejarah Melayu di Malaysia,ialah Allah dalam ertikata agama tauhid,bercanggah dengan konsep Tuhan Triniti sebagaimana yang difahami oleh penganut agama Kristian
Perkembangan Mutakhir
Sebagai makluman Ke Bawah DYMM Raja-raja Melayu,mutakhir ini telah berlaku suatu lagi penghinaan terhadap institusi Raja-Raja Melayu, khususnya terhadap DYMM Sultan Selangor Darul Ehsan. Pihak Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) telah menerima surat daripada sebuah firma guaman, Tetuan Azri, Lee Swee Seng & Co. bertarikh 10 Januari 2013 berhubung beberapa aspek mengenai larangan penggunaan nama Allah oleh orang bukan Islam seperti yang dititah DYMM Sultan Selangor.
Surat tersebut antara lain menyifatkan kenyataan MAIS tersebut sebagai bercanggah dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan memo dalaman daripada Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri bertarikh 8 April 2011.
SEKRETARIAT,mewakili sentimen umat Islam amnya, merasa amat kesal kerana tindakan ini yang bersifat mempertikaikan kedudukan DYMM Sultan Selangor sebagai Ketua Agama Islam di negeri Selangor Darul Ehsan seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh Negeri Selangor 1959.
SEKRETARIAT berpendirian bahawa titah DYMM Sultan Selangor berhubung larangan penggunaan nama Allah adalah dibuat selaras dengan kuasa Baginda dan mengikut peruntukan dalam Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988 yang masih berkuat kuasa sejak ia diwartakan pada 7 Julai 1988.
Di negeri Selangor, Seksyen 9, enakmen berkenaan yang diwujudkan selaras dengan Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan,secara jelas melarang nama Allah daripada digunakan oleh orang bukan Islam dalam apa-apa perkara yang berkaitan dengan agama mereka.
Susulan perkembangan mutakhir tersebut, SEKRETARIAT menyembah kepada DYMM Raja-Raja Melayu perasaan prihatin dan khuatir yang amat sangat dengan sikap pihak-pihak yang masih berdegil mengambil tindakan-tindakan yang menghakis kedaulatan agama Islam.
Ini termasuklah mencetak dan menerbitkan bible di dalam bahasa melayu serta mengedarkan bible seumpama itu kepada pelajar-pelajar di Pulau Pinang dan memanipulasi isu penyalahgunaan nama suci Allah.
Sedangkan kedudukan undang-undang setakat ini masih bersifat status quo, kerana kes-kes mahkamah dalam isu ini masih belum dimuktamadkan.
Berikut adalah sedikit ringkasan kes-kes tersebut :
i) MENTERI DALAM NEGERI & 1 LAGI v TITULAR ROMAN CATHOLIC ARCHBISHOP OF KUALA LUMPUR: MRRS No. W-01-1-2010
Berikutan daripada keputusan YA Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 31 Disember 2009 terhadap permohonan Semakan Kehakiman oleh Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur, Jabatan Peguam Negara telah memfailkan rayuan bagi pihak Perayu-perayu di Mahkamah Rayuan pada 4 Januari 2010 dan telah memfailkan Rekod Rayuan pada 25 Februari 2010.Pada masa ini, tarikh pendengaran rayuan tersebut masih belum ditetapkan oleh Mahkamah Rayuan.
Pada 6 Januari 2010,YA Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membenarkan permohonan Peguam Negara Malaysia untuk menggantung pelaksanaan dan prosiding seterusnya berhubung dengan keseluruhan keputusan YA Hakim tersebut sehingga rayuan Perayu-perayu di Mahkamah Rayuan dilupuskan dengan muktamad.
ii) JILL IRELAND BINTI LAWRENCE BILL v MENTERI BAGI KESELAMATAN DALAM NEGERI & 1 LAGI; MTKL SEMAKAN KEHAKIMAN No. R492-25-256-2008
Permohonan Pemohon untuk mendapatkan kebenaran (leave application) untuk memohon semakan kehakiman terhadap keputusan Menteri Dalam Negeri di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah dibenarkan oleh YA Hakim Mahkamah Tinggi pada 4 Mei 2009.
Setakat ini,YA Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur masih belum mendengar permohonan substantif bagi Semakan Kehakiman ini.
Kes ini masih di peringkat Pengurusan Kes.
Tarikh sebutan Pengurusan Kes yang akan datang ialah pada 28 Februari 2013.
SEKRETARIAT berpandangan bahawa apapun keputusan akhir mahkamah dalam kes-kes di atas, ia perlu dibataskan kepada fakta-fakta khusus kes-kes tersebut.
Ia tidak boleh difahami sebagai mengurangi kesan dan skop peruntukan-peruntukan yang sedia ada berkaitan dengan Islam yang terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan serta mana-mana undang-undang lain yang sedang berkuatkuasa terutamanya Enakmen-enakmen Negeri berkaitan Kawalan Pengembangan Agama Bukan Islam di Kalangan Penganut Islam.
Peruntukan Enakmen-enakmen ini jelas menyatakan bahawa sesetengah perkataan termasuk nama suci ‘Allah’ adalah khusus untuk kegunaan Agama Islam.
Enakmen-enakmen ini adalah undang-undang yang sah serta perlu dikuatkuasakan dengan lebih bersungguh-sungguh.
No comments:
Post a Comment