TARIK DIRI TANDING PRESIDEN, ANWAR ULANG SKRIP LAMA PERTAHAN SANDIWARA POLITIK
KUALA LUMPUR, 22 April: Ahli Parlimen Gerik, Datuk Hasbullah Osman menganggap pengumuman Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan (JPP) PKR Datuk Johari Abdul yang memaklumkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik diri daripada bertanding jawatan presiden parti itu menentang isterinya Datuk Seri Wan Azizah Ismail bukanlah sesuatu yang mengejutkan.
Katanya, apabila Anwar mencalonkan diri bagi jawatan Presiden, maka keputusan yang diumumkan hari ini telah pun dijangka sebagaimana sikapnya yang penuh dengan sandiwara.
“Ini semua sandiwara daripada Anwar dan keluarganya yang mahu memastikan bahawa PKR kekal didominasi oleh anak beranaknya sendiri tanpa ada orang lain yang berani tampil mencabar Wan Azizah sebagai presiden parti,” katanya kepada UMNO-Online.
pkr-parti-keluarga-rakyat-suami-isteri-anak-anwar-azizah-nurul-pemilihan
Jelas beliau, Anwar sedar kebarangkalian untuk beberapa pemimpin PKR yang akan bertanding jawatan tertinggi parti lantas dia sendiri mencalonkan diri menentang isterinya agar pihak lain tidak berani untuk berbuat demikian.
“Tindakan menawarkan diri untuk bertanding jawatan presiden ini dibuat adalah taktik politik bagi melindungi kepentingan kroni dan keutamaan keluarga sendiri agar tidak beralih kepada individu lain biarpun mereka adalah pemimpin PKR. Ini kerana Anwar mahu mengekalkan dominasi dan pengaruhnya sendiri.”
Akhir Mac lalu, pencalonan PKR untuk pemilihan parti dibuat dengan Anwar Ibrahim mencabar isterinya, Wan Azizah untuk jawatan presiden sementara empat orang untuk jawatan Timbalan Presiden yang antaranya ialah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; Azmin Ali dan Tian Chua. Anak Anwar, Nurul Izzah pula akan bertanding bersama 15 yang lain bagi jawatan Naib Presiden PKR.
“Ini bukan cerita baru kerana tindakan tersebut pernah menjadi permainan mereka dalam pemilihan parti sebelum ini yang meletakkan Anwar bertanding dengan Wan Azizah dan di saat-saat akhir beliau bertindak menarik diri sebagaimana yang berlaku hari ini,” kata Hasbullah.
Dalam hal ini beliau menyorot kepada pemilihan PKR pada 2007 apabila Anwar bertanding bersama Wan Azizah dan Rahman Othman untuk jawatan Presiden tetapi kemudiannya Anwar menarik diri yang diikuti oleh Rahman dengan memberi kemenangan tanpa bertanding kepada Wan Azizah.
Ketika itu, Anwar tidak dibenarkan bertanding setelah Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengesahkannya tidak layak kerana tempoh sekatan politik masih berjalan hingga April 2008, dan kini untuk pemilihan 2014, Anwar juga berisiko hilang kelayakan ekoran hukuman penjara lima tahun yang dihadapinya.
“PKR bukan sahaja parti anak beranak, laki bini dan parti keluarga tetapi mereka juga adalah parti politik yang penuh dengan babak-babak sandiwara, selepas satu babak maka mereka akan beralih kepada babak yang seterusnya untuk dilakonkan malah sekiranya wujud anugerah pelakon terbaik dalam politik maka Anwarlah orang yang paling layak.”
Penarikan diri Anwar itu sekali gus memberi laluan mudah kepada Wan Azizah untuk menang tanpa bertanding dan mengekalkan jawatan yang disandang sejak penubuhan parti pada 1999.
“Pemilihan PKR ini ibarat mengulangi skrip lama dengan siapa yang bakal menang telah pun dapat diduga.
“Apa yang berlaku dalam PKR ini secara tidak langsung mengukuhkan lagi kenyataan bahawa ideologi perjuangan parti tersebut adalah berlandaskan kepada individu dan ahli keluarganya semata-mata dan tidak mengutamakan kepentingan masyarakat keseluruhan.”
Lantaran itu, beliau menyeru rakyat agar menolak taktik politik sedemikian dan menjadikan insiden yang berlaku dalam PKR sebagai penilaian terbaik bagi memilih pemimpin negara pada masa hadapan.
No comments:
Post a Comment