Monday 25 November 2013

AL ARQAM KEMBALI DI PUTRAJAYA???


PUTRAJAYA 24 Nov. - Satu kumpulan serpihan ajaran sesat Al-Arqam dikesan sedang bergiat aktif di sekitar Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan ini dengan menjadikan beberapa tempat sebagai lokasi pertemuan untuk mengembangkan semula ajaran itu.
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, kegiatan tersebut yang dikesan sejak beberapa bulan lalu menyasarkan penduduk di sekitar kawasan itu bagi mengembangkan pengaruh mereka.

"Kita mendapat maklumat terdapat saki-baki pengikut kumpulan Al-Arqam menggunakan dua tempat iaitu masing-masing di sebuah klinik dan surau di Putrajaya untuk membawa ajaran ini.
"Pihak kami telah memaklumkan kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) untuk memantau ajaran ini daripada menular," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis khatan beramai-ramai di sini hari ini.

Pada majlis itu seramai 140 kanak-kanak sekitar Putrajaya dikhatankan menggunakan kaedah Smart Klamp menerusi tajaan UMNO Bahagian Putrajaya.
Mengulas lanjut, Tengku Adnan yang juga Ahli Parlimen Putrajaya meminta semua penduduk supaya berhati-hati dengan helah yang digunakan pengikut ajaran tersebut terutama mengenakan caj yang murah ketika mendapatkan rawatan.

Katanya, pihaknya bimbang caj murah yang dikenakan di klinik tersebut akan menyebabkan orang ramai terpedaya dan mengikut ajaran itu.
Dalam perkembangan lain, Tengku Adnan berkata, beliau telah meminta pertimbangan Kabinet dan Ketua Setiausaha Negara untuk menghentikan penggunaan perkhidmatan pembekal pengawal keselamatan di bangunan kerajaan di sini.

Katanya, pihaknya mencadangkan supaya tugas itu digantikan oleh polis bantuan bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku.
"Putrajaya merupakan pusat pentadbiran kerajaan dan banyak rahsia kerajaan yang terdapat di sini. Lebih berbahaya apabila ada pengawal keselamatan ini mempunyai kunci pendua yang boleh masuk ke pejabat menteri dan ketua setiausaha kementerian.
"Jadi saya minta setiap kementerian mengambil alih tugas ini dengan melantik dan melatih polis bantuan," katanya.

Mengenai isu pelaksanaan kadar baharu cukai pintu, beliau berkata, pihaknya akan bertemu dengan beberapa pihak esok bagi membincangkan dan mengemukakan cadangan baharu untuk menangani isu tersebut.
"Semua pihak diminta tidak risau dengan cadangan pelaksanaan ini kerana kita akan membincangkan kaedah baharu menyelesaikan isu ini dengan mengkaji pelbagai pilihan yang ada agar rakyat tidak terbeban," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131125/dn_18/Al-Arqam-kembali-di-Putrajaya#ixzz2lhxgkIrL
© Utusan Melayu (M) Bhd