KUALA LUMPUR 10 Nov. - Genap 19 hari pemburuan pasukan polis terhadap pengawal keselamatan yang membunuh seorang pengawai operasi AmBank di Subang Jaya, Selangor pada 23 Oktober lalu, suspek warga Indonesia itu akhirnya berjaya ditangkap hari ini.
Suspek yang dikenali sebagai Ardi Hamza, 37, ditangkap di Kampung Belungkor, Kota Tinggi, Johor pukul 7 pagi ini.
Difahamkan suspek tidak menetap di kampung itu sebaliknya sering berpindah-randah di beberapa rumah termasuk di premis kosong untuk dijadikan tempat persembunyian bagi mengelak aktivitinya dikesan polis dan orang ramai.
Suspek juga dipercayai sukar untuk mendapatkan bantuan saudara dan rakannya untuk keluar dari negara ini berikutan pemantauan ketat pihak berkuasa.
Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada wang rompakan RM450,000 yang dilarikan dalam kejadian itu ditemukan semula. Polis sebelum ini merampas wang berjumlah RM20,000 selepas menahan tiga suspek termasuk isterinya.
Ketua Polis Negara. Tan Sri Khalid Abu Bakar mengucapkan syabas kepada pasukan Op Cantas Khas yang berjaya menahan suspek serta mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia membantu polis.
Syabas, pasukan Op Cantas Bukit Aman telah berjaya tangkap pembunuh dan perompak kejam AmBank di Johor pagi ini. Terima kasih rakyat Malaysia yang membantu PDRM," katanya dalam laman Twitter rasminya hari ini.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Hadi Ho Abdullah berkata, lelaki yang ditahan dalam serbuan oleh pasukan Op Cantas Khas Ibu Pejabat Polis Bukit Aman itu merupakan suspek utama dalam kejadian samun AmBank, bulan lalu.
Dengan penahanan ini kita anggap kes tersebut berjaya diselesaikan. Malah polis merakamkan ucapan terima kasih kepada orang ramai di atas kerjasama serta keprihatinan yang diberikan sepanjang siasatan kes berlangsung," katanya.
Pembunuhan kejam Allahyarham Norazita Abu Talib, 37, yang ditembak dari jarak dekat oleh seorang pengawal keselamatan di AmBank cawangan Subang Jaya menggemparkan negara.
Mangsa yang ketika itu berada di dalam bilik kebal bank bersama seorang kakitangan wanita ditembak dengan pump gun.
Suspek yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di beberapa buah bank berdekatan kemudian disahkan sebagai warga asing dan menggunakan kad pengenalan palsu ketika memohon kerja di sebuah syarikat keselamatan itu.
Jenayah yang dilakukan suspek kemudian membawa kepada pembongkaran aktiviti sebilangan warga asing khususnya dari Indonesia dan Filipina yang menyamar sebagai rakyat Sabah untuk memohon pekerjaan sebagai pengawal keselamatan.
Dalam perkembangan sama, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli mengesahkan suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 16 November ini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Majistret Nazri Omran pada pukul 4.40 petang di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya, sebaik sahaja suspek tiba dari Kota Tinggi diiringi sepasukan pegawai Cawangan Jenayah Berat (D9) Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Kontinjen Polis Selangor menaiki empat buah kenderaan.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131111/je_01/Suspek-tembak-Norazita-ditahan#ixzz2kJCuJbyR
© Utusan Melayu (M) Bhd