Sunday, 7 April 2013

DEMOKRASI & PILIHANRAYA

ASAL-USUL DEMOKRASI

Tidak kurang daripada masyarakat Islam yang terkeliru dan terpedaya menyangka bahawa sistem politik demokrasi adalah selari dengan Islam.

Mereka beranggapan bahawa tidak ada percanggahan antara keduanya. Bahkan ada yang menganggap bahawa apa yang terkandung dalam demokrasi juga terkandung dalam Islam.

Demokrasi diistilahkan sebagai ‘Kerajaan rakyat, oleh rakyat, untuk rakyat’ (Government of the people, by the people, for the people).

Demokrasi berasal daripada perkataan Yunani dan dikatakan orang yang pertama kali menggunakan istilah ini adalah Ahli Falsafah Yunani yang bernama Plato.

Perkembangan demokrasi dapat dilihat dalam revolusi berdarah Perancis (1789-1799M) yang berdiri di atas slogan “Kebebasan, Persaudaraan dan Kesaksamaan” yang mana kerajaan baru Perancis pada tahun 1791M telah menjadikan demokrasi sebagai asas perlembagaannya.

Demokrasi terus berkembang di negara-negara Barat dan akhirnya sampai ke negara Islam pada awal kurun ke-20 setelah kejatuhan Kerajaan Uthmaniyah pada sekitar tahun 1922.

Satu demi satu kerajaan Islam telah menjadikan demokrasi sebagai sistem pemerintahan negaranya. Kerajaan Mesir sebagai contohnya dalam perlembagaannya yang pertama pada tahun 1923 telah menyebutkan bahawa ‘Kedaulatan Negara adalah untuk rakyat dan rakyat menjadi sumber pemerintahan’.

Malaysia seperti negara-negara Islam di Asia Tenggara yang lain turun mengamalkan demokrasi setelah kemerdekaannya pada tahun 1957 kesan daripada penjajahan Barat.

DEMOKRASI BUKAN ISLAM

Sistem pemerintahan demokrasi berdiri di atas TIGA asas iaitu :-
1. Perundangan (Legistlative),
2. Kehakiman (Judiaciry) dan
3. Eksukutif (Exercutive).

Dalam demokrasi, perlembagaan dan undang-undang negara digubal di dalam parlimen berasaskan kehendak majoriti wakil rakyat.

Hukuman mahkamah perlu selari dengan perlembagaan dan undang-undang parlimen ini.

Begitu juga dengan kuasa eksukutif. Ia tidak boleh bercanggah dengan perlembagaan dan undang-undang parlimen.

Hakikatnya demokrasi bercanggah dengan Islam daripada asasnya.

Berbeza dengan demokrasi yang berdiri di atas kehendak majoriti wakil rakyat dalam parlimen, Islam berdiri di atas Al-Quran dan Sunnah.

Segala perlembagaan dan undang-undang perlu kembali kepada keduanya. Walaupun ijtihad akal dibenarkan tetapi ia hanya dibolehkan dalam ruang lingkup yang terhad sahaja dan ia tetap perlu bersandarkan kepada Al-Quran dan Sunnah.

Dalam Islam, manusia diwajibkan tunduk kepada kehendak Allah serta hukumNya.

Firman Allah:

إِنِ الْحُكْمُ إِلاَّ لِلّهِ

“Sesungguhnya segala hukum itu milik Allah”
(Yusof 12:40).

Seseorang itu sama sekali tidak boleh menjadikan selain daripada Allah sebagai sumber hukumnya. Firman Allah:

وَلَا يُشْرِكُ فِي حُكْمِهِ أَحَداً

“Dan Dia tidak melantik sesiapa pun untuk masuk campur dalam hukumNya”
(Al-Kahf 18:26).

Oleh itu, Allah memberi AMARAN terhadap mereka yang berhukum dengan selain hukum Islam dalam firmanNya:

أَمْ لَهُمْ شُرَكَاء شَرَعُوا لَهُم مِّنَ الدِّينِ مَا لَمْ يَأْذَن بِهِ اللَّهُ

“Adakah mereka mempunyai sekutu-sekutu yang menentukan -mana-mana bahagian daripada Agama mereka- sebarang undang-undang yang tidak diizinkan oleh Allah?”
(Al-Syuura, 21).

Maka golongan yang berhukum dengan selain daripada hukum Allah dianggap sebagai golongan munafik yang tidak beriman dengan Allah dan hukumNya dengan erti kata yang sebenarnya.

Firman Allah:

أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِينَ يَزْعُمُونَ أَنَّهُمْ آمَنُواْ بِمَا أُنزِلَ إِلَيْكَ وَمَا أُنزِلَ مِن قَبْلِكَ يُرِيدُونَ أَن يَتَحَاكَمُواْ إِلَى الطَّاغُوتِ وَقَدْ أُمِرُواْ أَن يَكْفُرُواْ بِهِ وَيُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَن يُضِلَّهُمْ ضَلاَلاً بَعِيداً

“Tidakkah engkau melihat orang-orang yang mendakwa bahawa mereka telah beriman dengan apa yang telah diturunkan kepadamu dan dengan apa yang telah diturunkan sebelum kamu?
Mereka hendak berhukum kepada taghut, padahal mereka telah diperintahkan supaya kufur ingkar terhadap taghut itu; dan Syaitan pula sentiasa hendak menyesatkan mereka sejauh-jauhnya”
(Al-Nisaa’ 4:60).

ISLAM MENGAJAK KEPADA KESATUAN UMAT

Di antara ciri utama demokrasi adalah mewujudkan parti-parti politik yang berbeza fahaman dan ideologi di mana mereka akan menentang antara satu sama lain demi untuk menang dalam pilihanraya yang diadakan.

Akhirnya parti yang menang akan membentuk kerajaan manakala parti-parti yang kalah akan menjadi pembangkang.

Pendek kata, tidak ada demokrasi tanpa kepartian dan tidak ada kerajaan tanpa pembangkang.

Inilah REALITI DEMOKRASI. Sama ada kita sedar atau tidak ia mengajak kepada perpecahan dan perbalahan sesama Umat walhal perkara ini jelas ditegah sama sekali dalam Islam.

Sebagai Umat yang bersaudara, Allah subhanahu wata’ala memerintahkan supaya Umat Islam sentiasa menjaga kesatuan mereka.

FirmanNya:

وَاعْتَصِمُواْ بِحَبْلِ اللّهِ جَمِيعاً وَلاَ تَفَرَّقُواْ

“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (Agama Islam), dan jangan kamu bercerai-berai”
(Al-Imraan 3:103).

Oleh itu, Umat Islam dilarang berbalah sesama mereka kerana ia akan menyebabkan mereka gagal dan menjadi lemah.

Firman Allah:

وَأَطِيعُواْ اللّهَ وَرَسُولَهُ وَلاَ تَنَازَعُواْ فَتَفْشَلُواْ وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ وَاصْبِرُواْ إِنَّ اللّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ

“Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbalah; kalau tidak nescaya kamu akan gagal dan kekuatan kamu akan hilang; dan bersabarlah; sesungguhnya Allah bersama dengan orang-orang yang sabar”
(Al-Anfaal, 46).

Bukan sahaja diperintahkan supaya menjaga kesatuan mereka, Umat Islam turut diingatkan supaya tidak menjadi seperti orang-orang kafir yang telah memecah-belahkan agama mereka sehingga menjadi berpuak-puak dan berparti-parti.

Firman Allah:

وَلَا تَكُونُوا مِنَ الْمُشْرِكِينَ ,مِنَ الَّذِينَ فَرَّقُوا دِينَهُمْ وَكَانُوا شِيَعاً كُلُّ حِزْبٍ بِمَا لَدَيْهِمْ فَرِحُونَ

“Dan janganlah kamu tergolong dalam golongan orang-orang musyrikin. (Iaitu) mereka yang telah memecah-belahkan agama mereka dan menjadi berpuak-puak; setiap puak berbangga dengan apa yang ada padanya”
(Al-Rum 30:31-32).

DEMOKRASI SENJATA MUSUH UNTUK MENGUASAI UMAT ISLAM

Sebagai Umat Islam yang sedar akan permusuhan orang-orang Yahudi dan Nasrani terhadap Islam, kita wajar mempersoalkan mengapa orang-orang Barat beriya-iya menjaja demokrasi ke negara-negara Islam.

Adakah demokrasi benar-benar menjanjikan keadilan dan kemakmuran seperti yang didakwa?

Kita perlu berhenti sejenak dan bertanya. Sejak bilakah orang-orang Yahudi dan Nasrani berdamai dengan orang Islam dan berusaha ke arah kebaikan dan maslahat mereka?

Jawapannya, mereka tidak pernah berdamai. Bahkan permusuhan mereka berterusan sehingga ke hari ini.

Bagi yang sedar dan tidak tertipu dengan propaganda Barat, mereka akan dapat lihat dengan jelas bagaimana demokrasi digunakan sebagai senjata untuk memporak-perandakan negara Islam serta melemahkan mereka.

Masyarakat Islam dipecah-belahkan kepada parti-parti politik yang berbeza fahaman dan ideologi semata-mata kerana mengejar kuasa dan harta dunia.

Perbalahan politik tidak lebih daripada kerana ada yang merasakan bahawa diri mereka lebih layak memegang tampuk kuasa daripada yang lain. Atau kerana perselisihan yang timbul akibat pembahagian harta kekayaan dunia.

Akhirnya, berlakulah tuduh-menuduh zalim, rasuah, menyeleweng, gila kuasa dan seumpamanya semata-mata kerana tamakkan kuasa dan harta dunia.
َ

No comments:

Post a Comment