Hakikatnya Syarak tidak membenarkan perbuatan melawan pemerintah Islam atas apa jua alasan dan cara. Sama ada dengan membangkang melalui kepartian, menyebut keaiban, memperlekeh, menghina dan mencaci-maki; mengguling dengan cara ‘aman’ ataupun kekerasan, dengan lisan mahupun dengan senjata. Kesemuanya dilarang oleh Syarak. Hal ini dinyatakan secara jelas dalam banyak Hadis Nabi Muhammad SAW. Antaranya: سَألَ سَلَمَةُ بن يَزيدَ الجُعفِيُّ رسولَ الله فَقَالَ : يَا نَبِيَّ الله ، أرأيتَ إنْ قامَت عَلَيْنَا أُمَرَاءٌ يَسألُونَا حَقَّهُم ، وَيمْنَعُونَا حَقَّنَا، فَمَا تَأْمُرُنَا؟ فَأعْرَضَ عنه ، ثُمَّ سَألَهُ ، فَقَالَ رسولُ الله اسْمَعْوا وَأَطِيعُوا ، فإنَّمَا عَلَيْهِمْ مَا حُمِّلُوا ، وَعَلَيْكُمْ مَا حملْتُمْ Salamah bin Yazid Al-Ju’fi radiyallhu anhu bertanya kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam dan berkata: "Wahai Nabi Allah, bagaimana sekiranya kami diperintah oleh pemerintah yang meminta hak mereka tetapi tidak memberi hak kami. Apa yang patut kami lakukan?" Baginda berpaling daripadanya. Dia bertanya lagi, lalu Rasulullah SAW bersabda, “Hendaklah kamu dengar dan patuh, mereka akan memikul tanggungjawab mereka dan kamu akan memikul tanggungjawab kamu” (Riwayat Muslim). Dalam hadis yang lain Nabi Muhammad SAW bersabda: يَكُونُ بَعْدِي أَئِمَّةٌ لا يَهْتَدُونَ بِهُدَايَ وَلا يَسْتَنُّونَ بِسُنَّتِي وَسَيَقُومُ فِيهِمْ رِجَالٌ قُلُوبُهُمْ قُلُوبُ الشَّيَاطِينِ فِي جِثْمَانِ إِنْسٍ قَالَ حُذَيْفَةَ : قُلْتُ: كَيْفَ أصْنَعُ يَا رَسُولُ اللهِ إِنْ أَدْرَكْتُ ذَلِكَ ؟ قَالَ: “تَسْمَعْ وَتُطِيعَ الأمِيرِ وَإِنْ ضَرَبَ ظَهْرَكَ وَأَخَذَ مَالَكَ فَاسْمَعْ وَأَطِعْ” “Setelah pemergianku akan ada pemerintah yang tidak beramal dengan petunjukku mahupun dengan Sunnahku, dan akan ada di kalangan mereka lelaki yang hati mereka (seperti) hati syaitan dalam badan manusia.” Berkata Huzaifah (perawi hadis): Saya bertanya: Apa yang perlu aku lakukan sekiranya aku berdepan dengannya? Sabda Baginda: “Engkau dengar dan taat terhadap pemerintah walaupun dia memukul belakangmu dan mengambil hartamu. Kamu dengar dan taat” (Riwayat Muslim). Sabda Nabi Muhammad SAW: ألا مَنْ وُلِيَ عَلَيْهِ وَالٍ، فَرَآهُ يَأتِي شَيْئاً مِنْ مَعْصِيَةِ اللهِ، فَلْيَكْرَه مَا يَأتِي مِنْ مَعْصِيَةِ اللهِ، وَلا يَنْزَعَنَّ يَداً مِنْ طَاعَة “Barangsiapa daripada kalangan kamu yang diperintah oleh pemerintah yang dilihat melakukan hal-hal kemaksiatan, maka hendaklah dia membenci kemaksiatan itu dan jangan (pula) dia menarik tangan ketaatannya” (Riwayat Muslim). Dalam hadis yang pertama di atas, Nabi Muhammad SAW jelas ditanya tentang pemerintah yang tidak menunaikan tanggungjawab mereka terhadap rakyat. Tetapi Baginda tetap mengarahkan supaya Umat Islam taat kepada pemerintah mereka yang zalim itu. Baginda menyimpulkan bahawa masing-masing memikul tanggungjawab masing-masing. Pemerintah berkewajipan untuk berlaku adil manakala rakyat perlu taat kepada pemerintah walaupun mereka zalim. Sebagaimana pemerintah akan menanggung akibatnya sekiranya mereka tidak melaksanakan tanggungjawab mereka, begitu juga dengan rakyat mereka akan menanggung akibatnya sekiranya mereka tidak melaksanakan tanggunggujawab mereka untuk taat kepada pemerintah mereka walaupun mereka zalim. Hadis ini jelas menunjukkan bahawa ketaatan tidak terhad kepada pemerintah yang adil sahaja. Dalam hadis yang kedua, Nabi Muhammad SAW jelas mewajibkan ketaatan terhadap pemerintah walaupun mereka adalah seburuk-buruk manusia yang hati mereka seperti syaitan. Bahkan walaupun pemerintah bertindak zalim memukul dan merampas harta rakyat, Baginda tetap menyatakan bahawa rakyat perlu dengar dan taat. Oleh itu, keadaan pemerintah yang zalim, menyeleweng, rasuah, menyalah gunakan kuasa dan apa jua perbuatan maksiat yang lain bukan alasan yang membolehkan untuk tidak taat kepada pemerintah. Seperti mana dalam hadis yang ketiga, walaupun Umat Islam disuruh supaya membenci kemaksiatan yang dilakukan oleh pemerintah tetapi dalam masa yang sama rakyat perlu terus taat kepadanya.
No comments:
Post a Comment