Rakyat negara ini diminta memilih pemerintah secara bijak dan tidak terikut dengan perasaan semata-mata bagi memastikan mereka tidak tersalah pilih pemerintah.
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mahu rakyat tidak terlalu terpengaruh dengan kedaerahan, kaum, ideologi dan pihak tertentu ketika memilih pemerintah.
Katanya tentukan pemerintah yang dipilih mempunyai kewibawaan, pengalaman, mampu menjaga keselamatan negara, ekonomi dan sosial negara.
“Rakyat perlu matang dalam perkara ini dan kita tidak boleh mengikut perasaan semata-mata. Ini kerana ramai akan cuba menimbulkan perasaan benci kepada sesuatu dan kerana kebencian itu kita boleh membuat pilihan pemerintah yang salah,” katanya pada ‘Program Temu bual Bersama Radio Sandakan FM’ yang bersiaran hari ini.
Temu bual secara rakaman melalui telefon itu disiarkan pada 9.30 pagi bertajuk “Malaysia Negara Cemerlang Menjelang 2020″.
Dr Mahathir berkata nilailah kebolehan sesebuah pihak itu – adakah mereka mampu melaksanakan pemerintahan yang baik dan memastikan Wawasan 2020 negara – menuju ke arah negara maju tercapai.
Beliau berkata jika memilih sebuah parti yang pendapatnya berbeza dengan Wawasan 2020 dan mereka ingin menunjukkan kebolehan mereka dengan memperkenal wawasan mereka, ia akan menyebabkan pergolakan berlaku dalam politik negara dan sudah tentu Wawasan 2020 dilupakan.
“Memang ini naluri manusia apabila berkuasa dia ingin menunjukkan kebolehan tetapi apa yang diperkenalkan itu tidak baik kepada kita.
“Justeru itu, saya berharap rakyat Malaysia berhati-hati memilih dengan cara bijak, menggunakan akal fikiran dan bukannya emosi,” katanya.
Bekas perdana menteri itu juga meminta rakyat memberi penghargaan terhadap jasa yang ditunjukkan oleh orang tertentu dalam membangunkan negara, menyelamatkan negara dan menentukan rakyat hidup sempurna dan bahagia.
Bernama
sumbee : sahabat bloggeer
No comments:
Post a Comment